Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mengambil masa selama satu jam untuk memberi keterangan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rakaman perbualan audio yang didedahkan pihak SPRM pada awal Januari lalu.

Terdahulu mereka tiba pada jam 3 petang diiringi oleh beberapa orang pegawai sebelum meninggalkan Akademi SPRM di sini pada jam 4 petang.

Menurut peguam yang mewakili Rosmah, Rajivan Nanbiar pihaknya tidak dimaklumkan sama ada mereka dipanggil semula ataupun tidak selain tiada dokumen baru diminta pihak SPRM.

"Kami tak dimaklumkan sama ada mereka akan panggil semula mereka dan mereka dirakam keterangan secara berasingan ", katanya ketika ditemui di perkarangan Akademi SPRM pada Jumaat.

Minggu lalu, seramai 12 saksi diambil keterangan bagi membantu siasatan pendedahan rakaman audio yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi melibatkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga SRC International.

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.