Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memberikan ruang secukupnya kepada Naib Presiden, Mohd Rafizi Ramli dalam menilai semula keputusan yang dibuat untuk tidak kembali aktif dalam politik.

Menurut Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perkara itu bertujuan agar tidak timbul sebarang keputusan secara gopoh daripada pemimpin berkenaan pada masa depan.

Kata Anwar, tindakan dan pendekatan yang dibuat Rafizi adalah sama seperti yang dilakukan bekas Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.

Pendirian kedua-dua mereka, jelas Anwar, sangat berbeza dengan segelintir individu yang sering merbut kuasa dan jawatan.

Tambah Anwar lagi, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan memujuk kedua-dua pemimpin terbabit memandangkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing amat diperlukan PKR.

"Dia (Rafizi) sudah lama banyak membantu (parti) dan saya faham (keadaan) dia seperti Nurul Izzah, kadang merasa kecewa kerana mereka mengharapkan sesuatu yang lebih positif berlaku (pada negara).

"Kita beri masa kepada mereka, parti akan memujuk sebab kita perlukan kepakaran mereka.

"Beri ruang supaya mereka tidak beri keputusan gopoh (biar) mereka fikir dulu dan ini mewakili cetusan idealisma dan kita berikan masa sedikit. Ini berbeda daripada orang yang berebut rebut jawatan yang kaya-kaya ini," tegas Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PKR Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chio Min, di sini pada Sabtu.

Rafizi, dalam kenyataan pada Jumaat berkata, beliau tidak berminat untuk kembali berpolitik buat masa sekarang.

Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu menegaskan, dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang, beliau hanya mahu menjadi rakyat biasa.

BACA: Bebas hukuman BAFIA, Rafizi tidak mahu aktif politik