Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengenakan tindakan undang-undang kepada sebuah klinik swasta di Kuching, Sarawak kerana gagal merujuk kes seorang lelaki digigit anjing ke fasiliti kesihatan kerajaan.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, ini kerana menjadi satu kesalahan jika klinik atau hospital swasta yang mengendalikan kes gigitan haiwan terutamanya anjing tidak merujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

"Mereka perlu segera melaporkannya kepada klinik atau hospital kerajaan jika menerima kes sebegini. Jika tidak laporkan ia adalah satu kesalahan undang-undang," katanya ketika ditemui pada Progran Ziarah Kasih dan Program Jururawat Turun Padang di Perkampungan Orang Asli Runchang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kes terbaharu rabies di Sarawak membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun yang digigit anjing pada 27 November lalu dan dirawat di sebuah klinik swasta di Kuching tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

BACA: Program vaksinasi haiwan secara besar-besaran dilancar di Sarawak Selasa ini

BACA: Kes baharu rabies manusia dikesan di Sarawak

Pada 20 Januari lalu, mangsa mengalami sakit serta lemah anggota kaki dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta empat hari kemudian (24 Januari).

Keesokannya, kes dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut selepas mangsa menunjukkan gejala hidrofobia, halusinasi dan agresif.

Kes terbaharu ini menjadikan sejumlah tujuh kes rabies manusia dilaporkan di negeri itu sejak 30 Jun tahun lalu dan lima daripada mangsa telah meninggal dunia manakala dua lagi kes masih di rawat di HUS.

Sehubungan itu, KKM juga menasihatkan individu yang digigit haiwan terutama anjing supaya segera ke klinik atau hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan.

"Mangsa perlu segera mendapatkan rawatan dan mesti melaporkannya di Jabatan Kesihatan sekiranya dirawat di klinik atau hospital swasta. Rabies atau anjing gila adalah penyakit yang bahaya dengan tidak hanya berlaku akibat gigitan anjing tetapi juga haiwan lain," katanya.