Laluan baharu Qatar Airways ke Langkawi membuktikan komitmen syarikat penerbangan itu untuk membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Doha, menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Akbar Al Baker.

Beliau berkata penerbangan empat kali seminggu yang akan ditingkatkan kepada lima kali itu akan menghubungkan Langkawi ke rangkaian global yang lebih luas di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad.

"Pulau ini adalah destinasi sangat penting di Malaysia. Ini merupakan destinasi yang ingin kami wujudkan sejak sekian lama sebelum syarikat penerbangan lain. Namun, kami mempunyai keutamaan dan turut bergantung kepada penghantaran pesawat. Bagaimanapun, kami berada di sini hari ini.

"Langkawi merupakan destinasi ketiga kami di Malaysia selepas Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kami beroperasi empat kali seminggu dan akan ditingkatkan kepada lima mulai 27 Okt menerusi pesawat 787 Dreamliner.

"Komitmen kami terhadap Malaysia sudah lama...kami memulakan penerbangan pada 2001. Jadi, anda dapat lihat bahawa Malaysia merupakan negara penting (kepada kami) bagi rangkaian kukuh yang kami mahukan. Kami melancarkan (penerbangan) Pulau Pinang pada 2018 dan kini di Langkawi pada 2019, dengan lebih 25 penerbangan seminggu ke negara ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Qatar Airways Asia Pasifik, Marwan Koleilat, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Dr Hezri Adnan dan Pengurus Besar Pemasaran Penerbangan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohamed Sallauddin Mat Sah.

Qatar Airways memulakan penerbangan sulungnya ke Langkawi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad pada 15 Okt.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Hezri berkata pelancaran penerbangan Qatar Airways akan menyelesaikan masalah faktor beban penumpang yang rendah, khususnya bagi penerbangan keluar.

"Kami tidak mempunyai penerbangan dari luar Asia Pasifik sejak sekian lama. Sejak beberapa tahun lepas, kami mempunyai penerbangan dari Lapangan Terbang Heathrow secara terus dari London, namun, dihentikan akibat faktor bebanan. Ini bererti, anda boleh mendapat penumpang dalaman, tetapi untuk keluar, faktor beban adalah sangat rendah.

"Sehubungan itu, persetujuan dengan Qatar Airways ini adalah baik kerana Doha merupakan penjadulan terminal utama yang mana mereka akan mempunyai penumpang dari atau ke Pulau Pinang dan Langkawi. Oleh itu, bagi Langkawi, kami sentiasa mempunyai masalah dari segi keluar... ini akan menyelesaikan penyusunan terminal utama," katanya.