Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedia membantu peminjam yang tidak mampu membayar pinjaman termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan berkata antara bantuan yang boleh dilakukan ialah penstrukturan semula jadual pembayaran, bagaimanapun peminjam perlu bersemuka dengan PTPTN.

"Peminjam perlu datang berjumpa sendiri untuk merujuk masalah yang dihadapi mereka dan kita akan permudahkan proses supaya mereka tidak terus menanggung beban. Jika tidak datang berjumpa, kami tidak boleh membantu.

"Kita akan pastikan mereka ini benar-benar tidak mampu. Masalah yang kita hadapi ialah pembayar yang kurang berkemampuan takut berjumpa kita sedangkan kami sebenarnya sangat fleksibel," katanya.

Wan Saiful berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2019 peringkat Pahang di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Sabtu.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah yang turut menyampaikan sumbangan akaun SSPN-i kepada 560 anak asnaf dari seluruh Pahang berjumlah RM56,000 daripada wakalah zakat PTPTN.

Mereka menerima RM100 setiap seorang yang akan dibuka PTPTN dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

Mengenai akaun SSPN, Wan Saiful berkata sebanyak 241,734 akaun itu dengan jumlah deposit RM151 juta dibuka di negeri Pahang sehingga 31 Julai lalu, yang merupakan sebahagian daripada 4.2 juta akaun dengan jumlah deposit RM5 bilion yang dibuka di seluruh negara bagi tempoh sama.

Wan Saiful juga menasihatkan masyarakat dalam kategori B40 untuk memanfaatkan insentif Geran Sepadan yang merupakan insentif kewangan yang diberikan kepada pendeposit SSPN-i dengan jumlah tidak melebihi RM10,000 bagi satu keluarga yang layak.

Setakat ini, hanya RM2.5 juta dari peruntukan keseluruhan geran tersebut berjumlah RM1 bilion telah digunakan, katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata tabiat menyimpan di akaun SSPN-i bagi tujuan pendidikan perlu dipupuk dalam kalangan ibu bapa sama seperti kebiasaan penganut agama Islam membuka akaun Tabung Haji untuk menunaikan ibadah haji.

"Ini bermakna apabila sampai masa untuk melanjutkan pelajaran, anak-anak mereka akan pergi ke PTPTN bukan untuk meminjam tetapi untuk mendapatkan simpanan mereka.

"Apatah lagi jika mereka dalam kategori B40, mereka akan mempunyai simpanan yang lebih lagi menerusi insentif Geran Sepadan," katanya.

-- BERNAMA