Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan lebih RM550 juta deposit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional SSPN-i mampu dicapai bagi tahun ini.

Menurut Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, setakat ini perbadanan itu telah mencatat lebih RM180 juta pendeposit dalam skim berkenaan.

Jelas beliau angka tersebut mampu dicapai dengan pelbagai faedah dan ganjaran yang ditawarkan oleh pihak PTPTN kepada orang ramai.

Jumlah itu katanya melibatkan 174,000 akaun yang telah dibuka bagi skim SSPN-i dan SSPN-i Plus dan menyasarkan jumlah tersebut akan meningkat sehingga 300,000 akaun menjelang penghujung 2017.

Skim yang ditawarkan oleh PTPTN bukan sahaja membolehkan masa depan pendidikan anak-anak lebih baik malah pelbagai insentif dan faedah turut ditawarkan.

“Kita mahu mengalih perhatian dan persepsi rakyat, daripada melihat kita sebagai perbadanan yang memberi pinjaman, kepada perbadanan yang juga menyediakan instrumen baik dalam usaha rakyat merancang masa depan pendidikan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis mesra bersama pelanggan dan pelancaran cabutan Wow! 20 tahun PTPTN.

Pada majlis ini juga beliau menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bertuah menerusi cabutan bulanan sebelum ini selain menyampaikan insentif penghargaan kepada ejen-ejen yang dilantik PTPTN.

Wan Asron Wan Jusoh dari Kuantan yang hanya mencarum RM150 sebulan bagi lima anaknya diumumkan sebagai pemenang utama yang membawa pulang sebuah kereta Proton Perdana.

“Sebenarnya yang mula menabung ni bukanlah saya, usaha ini datangnya daripada isteri saya. Jadi saya tahulah pasal SSPN ini dan kita mula menabung daripada tahun lepas. bulan Oktober,” katanya.

Selain itu orang ramai juga dialu-alukan mengambil manfaat daripada geran sepadan yang ditawarkan oleh PTPTN membabitkan murid darjah satu berjumlah RM25 juta.