Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mengumumkan satu lagi kaedah bayaran melalui dalam talian iaitu direct debit online.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata ia bagi memudahkan peminjam yang turut berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus.

Shamsul Anuar berkata kemudahan ini juga dapat mengurangkan jumlah perkhidmatan bayaran balik menerusi kaunter.

“Kita harap dengan kaedah-kaedah seumpama ini, tidak timbul lagi di kalangan rakyat terutama sekali peminjam kita yang memberi pelbagai alasan susah nak ke pejabat PTPTN, jauh, sesak, payah nak isi borang. Kali ini tidak ada alasan itu lagi, hanya boleh gunakan hujung jari,” kata Shamsul Anuar.

Kemudahan ini bukan sahaja disediakan kepada peminjam PTPTN tetapi juga mereka yang membuat simpanan ke SSPN-i.

Sebanyak 17 bank utama di dalam negara kini menyediakan perkhidmatan direct debit ini, sekali gus memberi pilihan kepada peminjam untuk menggunakan bank pilihan mereka.

Pengguna boleh melayari ptptn.gov.my dan klik 'permohonan direct debit', dan dalam masa tiga hari, pengguna akan mendapat balasan email untuk mengetahui status bayaran mereka.

Setakat ini terdapat 9 juta peminjam PTPTN yang masih tidak membuat pembayaran balik.

PTPTN mensasar jumlah bayaran balik melalui direct debit akan meningkat sebanyak 10 peratus pada hujung tahun ini.