Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) dan Institut Integriti Malaysia (INTEGRITI) memulakan kerjasama strategik bagi membantu organisasi serta syarikat membangun, menyokong dan memperkayakan nilai integriti.

Presiden INTEGRITI, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, kerjasama melalui satu memorandum persefahaman (MoU) itu akan dibantu menggunakan instrumen Profil Integriti Malaysia yang dibina bersandarkan ujian psikometrik.

Katanya, instrumen itu penting dalam mengenal pasti kelemahan yang ada bagi membolehkan usaha meningkatkan integriti di setiap organisasi dilakukan secara berkesan.

"Trend analisis yang kita ada daripada data yang dikumpulkan membantu kita untuk wujudkan penyelesaian yang lebih baik.

"Hasrat kami, setiap agensi pelaksana mendapat bantuan sewajarnya untuk kenal pasti cara meningkatkan integriti dalam organisasi mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU antara PSMB dan INTEGRITI yang disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan pada Khamis.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Eksekutif PSMB, Datuk CM Vignaesvaran Jeyandran berkata ia merupakan sebahagian daripada komitmen PSMB dalam mewujudkan persekitaran bebas rasuah.

"Kerjasama ini penting untuk meningkatkan kepercayaan majikan yang berurusan dengan HRDF dalam pengurusan dana latihan secara telus dan amanah.

"Kami juga ingin memberi mesej dan peringatan kepada majikan, penyedia latihan dan semua pihak yang berurusan dengan PSMB agar tidak terlibat dalam apa jua urusan pecah amanah dan rasuah," katanya.