Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy mengakui telah menjawab soalan-soalan yang diajukan panel Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan baik.

Arul juga menegaskan akan memberi penjelasan lebih lanjut di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada prosiding kali kedua yang dijadual pada 18 Disember.

"Saya juga telah diminta sama ada boleh datang kembali untuk memberi penjelasan lebih lanjut dan saya akan mengambil peluang tersebut untuk memberi penerangan dan penjelasan yang sewajarnya kepada PAC.

"Kita sentiasa mempunyai komitmen yang jelas...dan apabila kami dipanggil, kami menerima dengan terbuka peluang tersebut untuk hadir dan membentangkan cerita daripada pihak kami," katanya sejurus selepas prosiding pendengaran kali pertama di hadapan jawatankuasa tersebut.

Prosiding yang bermula pukul 11 pagi tadi berlanjutan selama hampir lima jam.

Arul tiba kira-kira pukul 10.23 pagi tadi di bangunan Parlimen sebelum sesi memberi keterangan di hadapan PAC yang bermula pukul 11 pagi hingga 5 petang.

Sementara itu, Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin mengesahkan prosiding kali kedua keterangan Arul akan berlangsung pada 18 Disember depan.

Mesyuarat yang bermula pukul 11 pagi itu dipengerusikan Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin yang turut dihadiri anggota jawatankuasanya.

"Ya, kami bersedia untuk prosiding ini," itu jawab ringkas Arul Kanda ketika ditanya sama ada beliau bersedia untuk prosiding kali ini.

Semalam, Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tampil memberi keterangan kali kedua kepada PAC.

Pada 25 November lepas, PAC memanggil Shahrol pada pendengaran kali pertama untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB, yang dilapor berlaku dalam 2009 ketika di bawah pengurusan beliau.

Hasan dilapor sebagai berkata PAC memanggil semula Shahrol untuk pendengaran kali kedua berikutan ada beberapa maklumat yang harus dimaklumkan semula sebelum PAC mendengar keterangan daripada Arul.

Hasan dalam kenyataannya sebelum ini turut menjelaskan ia dilakukan agar PAC dapat membentangkan satu laporan jawatankuasa dengan lebih telus, menyeluruh serta adil.

Beliau turut menegaskan supaya kedua-dua individu tersebut perlu bersedia termasuk membawa dokumen yang berkaitan semasa prosiding.