Presiden dan pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy hari ini tampil buat kali pertama bagi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Arul Kanda tiba pada jam 10.23 pagi tadi di bangunan Parlimen sebelum sesi bermula.

Mesyuarat yang bermula pukul 11 pagi itu dipengerusikan oleh Pengerusi PAC Datuk Hasan Arifin yang turut dihadiri anggota jawatankuasanya.

"Ya, kami bersedia untuk prosiding ini," itu jawab ringkas Arul Kanda ketika ditanya.

Semalam, bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tampil memberi keterangan kali kedua kepada PAC.

Pada 25 Nov lepas, PAC memanggil Shahrol Azral pada pendengaran kali pertama untuk memberi keterangan berkaitan pembentukan 1MDB, yang dilapor berlaku dalam 2009 ketika di bawah pengurusan beliau.

Hasan dilapor sebagai berkata PAC memanggil semula Shahrol untuk pendengaran kali kedua berikutan ada beberapa maklumat yang harus dimaklumkan semula sebelum PAC mendengar keterangan daripada Arul.

Hasan dalam kenyataannya sebelum ini turut menjelaskan ia dilakukan agar PAC dapat membentangkan satu laporan jawatankuasa dengan lebih telus, menyeluruh serta adil.

Beliau turut menegaskan supaya kedua-dua individu tersebut perlu bersedia termasuk membawa dokumen yang berkaitan semasa prosiding.