Lembaga Tabung Haji (TH) akan memulakan proses pra-pelepasan haji di kesemua lapan stesen berlepas di tanah air.

Kebiasannya, proses pelepasan dilakukan di Arab Saudi semasa ketibaan jemaah haji di sana, namun proses pra-pelepasan ini akan dimulakan lebih awal.

Menurut Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, proses akan bermula semasa jemaah haji melapor diri di stesen berlepas.

“Semua jemaah haji akan menjalani proses imbasan 10 jari dan pengambilan gambar muka yang dikendalikan okeh wakil Kementerian Luar Arab Saudi di semua stesen berlepas.

“Ia bertujuan untuk mempercepatkan proses pemeriksaan Imigresen Arab Saudi di semua stesen berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang media pra-pelepasan haji di Menara TH di sini pada Rabu.

Syed Saleh yang juga Ketua Rombongan Haji Malaysia 1439 Hijrah berkata, sebaik jemaah haji tiba di Terminal Haji Arab Saudi, mereka akan melalui kaunter ‘fast track’ dan terus menaiki bas ke tempat penginapan.

“Jemaah tidak perlu mengambil bagasi masing-masing kerana proses itu akan diteruskan oleh pihak wakil bersatu.

“Semua bagasi akan diimbas oleh Kastam Arab Saudi dan terus dihantar ke tempat penginapan jemaah haji,” ujarnya.

Malaysia merupakan negara pertama yang di dunia yang terpilih sebagai perintis bagi program Pra-Pelepasan Haji yang akan dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Terdahulu, Kedutaan Arab Saudi di sini mengesahkan kuota haji bagi Malaysia tahun ini kekal 30,200 jemaah.

Kumpulan jemaah haji pertama Malaysia akan berlepas 14 Julai ini, manakala penerbangan ke Tanah Suci terakhir pada 15 Ogos ini.

Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan bagi operasi haji tahun ini, menggunakan 40 pesawat Malaysia Airlines A380 dan 41 pesawat Flynas.

Penerbangan pulang jemaah haji Malaysia dijadualkan pada 29 Ogos hingga 25 September.