Program promosi dalam pelbagai sektor pelancongan dalam negara akan terus dipergiat walaupun impak penularan COVID-19 kini menjejaskan industri itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Dr. Noor Zari Hamat, berkata ia selari dengan usaha kementerian yang sentiasa mengambil langkah proaktif mengubah strategi pemasaran.

Beliau berkata, selain pelancongan domestik, tumpuan kini juga diberikan kepada beberapa pasaran baharu terutama di negara jiran dan Asia Tengah.

“Kita sedang mengenal pasti pasaran baharu seperti negara Asia Tengah dan dengan promosi yang lebih strategik, kita berharap mampu mencapai sasaran jumlah kemasukan pelancong,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran ‘Super GT Night Race’ dan Festival Malaysia di Marina Putrajaya, pada Isnin.

Dr. Noor Zari (tujuh dari kiri) berkata saingan kali ini menjadi perlumbaan pertama diadakan pada waktu malam untuk siri Super GT

Selepas enam tahun tidak dianjurkan di Malaysia, siri perlumbaan popular 'touring car' ‘Super GT Night Race’ dan Festival Malaysia bakal menemui peminat sukan permotoran pada Julai di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Saingan pada kali ini akan menjadi perlumbaan pertama diadakan pada waktu malam untuk siri Super GT.

Mengulas lanjut mengenai sukan permotoran, Noor Zari berkata sebagai salah satu acara utama dalam aktiviti kalendar Tahun Melawat Malaysia 2020, potensi sukan itu mampu memacu sektor pelancongan sukan seiring sasaran kemasukan 30 juta jumlah pelancong tahun ini.

Tambahnya, penganjuran Super GT yang menyasarkan seramai 80,000 pengunjung itu dilihat sebagai satu peluang bagi meningkatkan kemasukan pelancong terutama dalam kalangan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia.