Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 yang diadakan bersempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini dijangka menjana pulangan kontrak sebanyak RM500,000.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi, sasaran tersebut lebih tinggi berbanding jumlah jualan yang dicapai pada penganjuran program tersebut, Mac lalu iaitu RM332,440.

“Sesi perniagaan ke perniagaan (B2B) ini bertindak sebagai platform menemukan pengusaha pelancongan dengan pengusaha produk dan hotel bagi mendapatkan pelbagai pilihan pakej-pakej pelancongan domestik.

“Dijangkakan seramai 200 pembeli dan 101 penjual dari seluruh negara akan menyertai program kali ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Tourism Malaysia Travel Mart 2019 di Dewan Tun Hussein On, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamaddin Ketapi dalam ucapan perasmian berkata, pihaknya yakin program tersebut mampu mengukuhkan hubungan kerjasama antara para penggiat industri pelancongan.

“Di samping itu, program Tourism Malaysia Travel Mart ini dapat memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekaligus menjana pendapatan industri pelancongan negara,” ujarnya.

Ia merupakan kesimbungan kepada siri pertama yang dianjurkan pada 14 Mac lalu di Hotel Seri Pasifik.

Sementara itu, Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang dijadual bermula esok sehingga 8 September ini menyasarkan jualan RM220 juta.

Presidennya, Datuk Tan Kok Liang berkata dianggarkan 10,000 pelawat akan ke pameran selama tiga hari itu.