Universiti Malaya (UM) disenaraikan pada kedudukan ke-15 terbaik dunia bagi program kejuruteraannya.

Pencapaian tersebut diumumkan menerusi portal berita US News & World Report dengan skor 84.1.

Penilaian tersebut dilakukan menggunakan konsep kejuruteraan asas dengan menggunakan sains dan matematik dalam menyelesaikan masalah.

Portal tersebut turut menjelaskan, semua universiti yang tersenarai mempunyai kekuatan dalam penghasilan kajian dalam pelbagai topik kejuteraan termasuk kejuruteraan angkasa, mekanikal, elektrik dan awam.

Selain UM, turut tersenarai di tempat ke-40 adalah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (147), Universiti Sains Malaysia (193), Universiti Putra Malaysia (220), Universiti Tenaga Nasional (253), Universiti Malaysia Pahang (271), Universiti Teknologi Petronas (285), Universiti Teknologi Mara (464) dan Universiti Malaysia Perlis (654).

Pada masa sama, UM turut disenaraikan di tempat ke-27 sebagai universiti terbaik pada peringkat Asia dan universiti tempatan terbaik di negara ini.

Sementara itu, Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, Prof Dr Saad Mekhilef berkata, pencapaian menjadi antara universtiti terbaik di dunia ini membuktikan program kejuruteraan universiti tersebut terutama dari segi kualiti kajian dan hasil kerja penyelidik di fakulti itu.

“Selain itu, faktor kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan kerja keras kakitangan serta pelajar fakulti sendiri, selain sokongan daripada pengurusan UM.

"Antara rahsia kejayaan kami adalah melaksanakan kajian berkualiti tinggi dan menerbitkannya dalam journal terbaik yang kemudiannya menarik perhatian pihak terbabit,” katanya.

Saad berkata, pihak fakulti akan terus memperbaiki pencapaian memandangkan kedudukan terbaik di tangga ke-15 ini adalah satu persaingan sengit yang bersifat dinamik.

“Kami bersedia mengekalkan kedudukan ini dengan mencipta budaya kerja terbaik dan menghasilkan kajian berkualiti yang memberi impak tinggi,” katanya.