Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneruskan Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar) di Sabah dan Sarawak tahun depan, bagi memberi kesedaran dan pendedahan mengenai usaha membanteras rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata Kejar 2017 yang bermula 18 hingga 30 Sept di seluruh negara, menunjukkan keberkesanan yang luar biasa dalam mendidik segenap lapisan masyarakat untuk membenci rasuah.

Beliau berkata Kejar yang dilaksanakan sempena ulang tahun ke-50 Badan Pencegah Rasuah (BPR)/SPRM adalah program mendekati masyarakat sehingga ke akar umbi supaya SPRM digeruni perasuah.

"Mereka yang mahu lakukan rasuah dan salah guna kuasa harus gerun dan gentar kerana SPRM sangat serius dalam isu rasuah dan salah guna kuasa.

"Bermula awal tahun ini, setiap minggu ada siasatan dan tangkapan dibuat dan ia akan berterusan," katanya pada majlis Aspirasi Kejar 2017 sempena sambutan ulang tahun Jubli Emas penubuhan SPRM, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Seri Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Dzulkifli berkata Kejar 2017 yang diadakan julung kali mengambil masa selama 13 hari berturut-turut melibatkan jarak perjalanan hampir 2,700 kilometer dan diiringi 40 motosikal berkuasa tinggi serta membabitkan 135 pegawai dan kakitangan SPRM.

Mengenai majlis Ini, Dzulkifli berkata ia dianjurkan bagi menghargai sumbangan dan jasa kepada jabatan dan agensi kerajaan, media dan pihak yang membantu secara langsung atau sebaliknya, dalam menjayakan program Kejar 2017.

Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara agensi kerajaan yang menerima sijil aspirasi daripada Dzulkifli.

- BERNAMA