Tindakan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohamaddin Ketapi menyifatkan pencerobohan bersenjata ke atas wilayah negara sebagai satu sandiwara adalah satu pembohongan dan hasutan untuk memecahbelahkan perpaduan dan kesatuan rakyat.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia juga mencerminkan bahawa Warisan tidak komited untuk mempertahankan kedaulatan negeri dan keselamatan rakyat Sabah.

Beliau berkata pada masa sama, ucapan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Sabtu ini, juga telah mempersendakan pengorbanan anggota keselamatan negera serta menghina jasa dan pengorbanan setiap anggota yang terkorban.

"Saya yakin, keluarga besar pasukan keselamatan negara khususnya mereka yang terkorban dalam pertempuran itu serta seluruh rakyat Malaysia yang patriotik tidak boleh menerima keceluparan beliau.

"PN mendesak Mohamaddin menarik balik kata-kata penghinaan itu dan segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya keluarga pasukan keselamatan yang terkorban dalam menjalankan tanggungjawab suci mempertahankan tanah air," katanya dalam kenyataan hari ini.

BACA: Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara

BACA: Mohamaddin Ketapi jawab isu dakwa pencerobohan Lahad Datu 'sandiwara', mohon maaf

BACA: Tuduhan peristiwa Lahad Datu sandiwara tindakan biadap - Ismail Sabri

BACA: Anifah kecewa Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu 'sandiwara'

Rakyat Sabah, katanya, mesti menolak sesiapa saja yang cuba mempermain-mainkan kedaulatan dan keselamatan negara untuk tujuan politik sempit.

Azmin, yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata peristiwa hitam di Tanduo, Lahad Datu itu telah mengakibatkan pertempuran di antara pasukan keselamatan negara dengan penceroboh militan dari Filipina sehingga mengorbbankan 12 anggota keselamatan dan orang awam serta mencederakan ramai anggota lain.

"PN bertegas bahawa perjuangan untuk mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan keutuhan wilayah merupakan tanggungjawab suci setiap anak watan yang cintakan kesejahteraan dan kemakmuran," katanya.

Video ucapan Mohamaddin mendakwa kononnya peristiwa pertempuran di Tanduo itu sebagai sandiwara dalam ceramahnya pada kempen PRN Sabah itu tular di media sosial. - BERNAMA