Polis Sabah akan memperhalusi saranan menyediakan ruang khas kepada pesakit COVID-19 untuk menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perbincangan lanjut akan dijalankan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam masa terdekat.

Jelas beliau, pihaknya akan memanggil ketiga-tiga badan berkenaan sebelum memutuskan sebarang keputusan berhubung perkara tersebut.

“Pandangan yang jelas dan setiap rakyat ada hak untuk mengundi.

“Perkara ini saya sedang berbincang dengan JKNS dan apa bentuk yang boleh kita ambil untuk pesakit COVID-19 datang mengundi pada 26 September ini.

“Ini kerana, dia (pesakit COVID-19) akan menyusahkan banyak pihak termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM), anggota keselamatan dan petugas-petugas SPR. Saya akan perhalusi bagaimana cara untuk kita bawa pesakit positif (COVID-19) mengundi,” katanya dalam sidang media berhubung perkembangan berhubung Op Benteng danPRN Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Ahad.

BACA: PRN Sabah: Benarkan pesakit COVID-19 keluar mengundi bukan keputusan bijak

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan membenarkan pesakit COVID-19 belum pernah dibuat dalam mana-mana pilihan raya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim.

Selain itu Hazani berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan memperketatkan kebenaran permohonan permit kempen PRN Sabah di Pantai Timur negeri itu.

“Bukan kita nak menghalang ahli politik (berkempen)... kita benarkan tetapi mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan kempen rumah ke rumah juga kita benarkan.

“Tetapi SOP kena ikut tak boleh bersalaman, dan tidak lebih tiga orang masuk rumah penduduk setempat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata setiap rakyat berhak mengundi termasuk pesakit COVID-19.