Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menggesa calon Parti Warisan Sabah, Datuk Mohamaddin Ketapi yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 memohon maaf kepada waris anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi Tanduo pada Mac 2013.

Kesal dengan kenyataan calon Warisan itu, Yang Dipertua (YDP) PVATM, Marshid Mohd Salleh berkata, Mohamaddin seharusnya tidak menggunakan isu tersebut sebagai bahan kempen.

"Carilah isu lain untuk dipolitikkan, kenapa harus menggunakan isu insiden tragedi Tanduo yang mana telah mengorbankan anggota keselamatan dalam menjaga keamanan dan kedaulatan negara.

"Selaku YDP (PVATM), saya berasa kesal dengan kenyataan kempen daripada calon tersebut kerana dilihat sebagai tidak menjaga sensitiviti dan menyentuh perasaan keluarga serta anggota keselamatan yang terlibat dalam tragedi itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara

BACA: PRN Sabah: Tindakan Mohamaddin pembohongan dan hasutan - Azmin

BACA: Tuduhan peristiwa Lahad Datu sandiwara tindakan biadab - Ismail Sabri

Beliau juga berkata, setiap ketua cawangan PVATM di Sabah akan membuat laporan polis berhubung kenyataan Mohamaddin.

"Saya mendapat nasihat daripada Presiden PVATM Datuk Shaharudin Omar supaya setiap ketua cawangan PVATM membuat laporan polis," katanya.

Terdahulu, video berdurasi satu minit sembilan saat berkaitan ucapan kempen bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Anggota Parlimen Lahad Datu itu semalam di Kampung Wawasan, tular di media sosial. - BERNAMA