Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 akan diketahui jam 10 malam esok.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, bagaimanapun semua itu bergantung kepada pegawai pengurus pilihan raya setiap DUN yang dilantik untuk memaklumkan kepada pusat gerakan SPR.

"Kita mengharapkan akan dapat diterima awal... dalam jam 10 malam sudah ada keputusan penuh.

"Tetapi ini bergantung kepada pegawai pengurus pilihan raya juga. Kalau mereka dapat berikan awal ke pusat gerakan SPR maka kita akan mengumumkan keputusan itu," katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Mengundi di Pusat Kebudayaan Penampang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog pada Jumaat.

Dalam tinjauan itu, beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan para petugas SPR termasuk di DUN lain.

Abdul Ghani juga menambah, SPR akan menggunakan 20 unit helikopter bagi kegunaan penghantaran peralatan mengundi dan peti undi di kawasan-kawasan pedalaman serta pulau di Sabah.

Katanya, setakat ini dua kawasan yang dikategorikan sangat jauh ialah di DUN Nabawan iaitu Sekolah Kebangsaan Saliliran dan Pulau Nibawan (DUN Sulabayan).

"Pilihan lain jika cuaca tidak mengizinkan adalah dengan menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot," katanya.

Selain itu, beliau turut memberi jaminan bahawa lokasi pusat mengundi berada dalam keadaan baik dan dijamin sihat.