Dua calon Barisan Nasional (BN) dan seorang calon Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjalani kuarantin selama 14 hari kerana dipercayai mempunyai kontak kepada seorang pemimpin UMNO yang disahkan positif COVID-19.

Dua calon BN itu ialah Sani Miasin yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan Datuk Kamarlin Ombi untuk DUN Lumadan.

Manakala calon Warisan ialah Datuk Dr Yusof Yacob yang bertanding di DUN Sinduman.

Miasin ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan mengenai perkara itu dan sedang menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

"Apabila dapat tahu pemimpin UMNO, Mohd Razlan Rafii disahkan positif, saya terus membuat saringan dan sedang menunggu keputusan.

"Segala prosedur operasi standard (SOP) keselamatan COVID-19 akan saya patuhi," katanya ringkas.

Kamarlin turut mengesahkan bahawa beliau sedang dikuarantin selepas menjalani ujian swab pada Selasa.

“Insya-Allah keputusan ujian itu akan diketahui esok (Khamis) dan sekiranya negatif saya tidak perlu lagi kuarantin.

“Buat masa ini, saya patuhi SOP ditetapkan, tiada kempen dilakukan sehingga keputusan ujian itu keluar,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Media kepada Dr Yusof, Mazlan Sanoh turut mengesahkan penyandang kerusi DUN Sindumin itu sedang menjalani kuarantin.

"Dr Yusof sudah menjalani ujian swab kelmarin dan sedang menunggu keputusan. Buat masa ini beliau sedang menjalani kuarantin," katanya.