Sebanyak enam kertas siasatan telah dibuka polis sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang sedang berlangsung ketika ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Dep Supt Azmir Abdul Razak berkata, antara kesalahan berkenaan merangkumi Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan lain-lain.

Menurutnya, enam kertas siasatan itu adalah berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 10 (sogokan), Seksyen 4A (1) (mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan).

Manakala dua seksyen berlainan adalah kesalahan fitnah yang disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Setakat ini, pihak kita telah membuka enam kertas siasatan berhubung kesalahan-kesalahan sepanjang kempen PRK Kimanis.

"Bagaimanapun, sebarang perkembangan kes kita akan maklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Azmir berkata, sebanyak 181 permit telah dikeluarkan polis setakat ini bagi tujuan berkempen dan ceramah umum oleh dua parti bertanding, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 112 permit diluluskan kepada pihak Warisan-Pakatan Harapan manakala BN, 69 permohonan permit.

Pada Isnin, beliau berkata, polis menerima 10 laporan berkaitan PRK Parlimen Kimanis sepanjang tempoh 10 hari berkempen sehingga semalam.