Prestasi Kraftangan Malaysia berada pada tahap yang amat memberangsangkan dengan menyaksikan nilai jualan kraf dari Januari sehingga September tahun ini melebihi RM370 juta daripada 5,737 usahawan kraf.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata daripada jumlah itu, RM24.2 juta merupakan nilai jualan kraf bagi negeri Sarawak dan RM37.1 juta merupakan nilai jualan kraf bagi negeri Sabah.

"Saya melihat pencapaian jualan kraf di Sarawak dan Sabah ini sangat membanggakan dengan penglibatan bilangan usahawan kraf kedua-dua negeri seramai 3,070 orang.

"Perolehan ini secara tidak langsung menyahut seruan kerajaan agar konsep Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau Shared Prosperity dapat diterapkan kepada semua golongan dan lapisan rakyat Malaysia.

"Bagi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kraftangan Malaysia, kami akan terus menyediakan program-program dalam membangun dan memperkasakan usahawan komuniti kraf di Malaysia termasuk masyarakat etnik di Sarawak dan Sabah," katanya ketika berucap pada majlis Malam Gala Borneo Craft Textile di sini, malam tadi.

BACA: CAEXPO 2019: Produk Sabah & Sarawak seperti 'pisang goreng panas' di China

Mohamaddin berkata, dengan wujudnya produk-produk pelancongan berkualiti di Sarawak, termasuk penganjuran Tahun Melawat Sarawak 2019, beliau yakin sasaran 5 juta pelancong masuk ke negeri ini akan dapat dicapai.

"Merujuk kepada Statistik Kedatangan Pelancong ke Sarawak yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelancongan Sarawak, dari Januari sehingga September tahun ini, seramai 3.36 juta orang pelancong dalam dan luar negara telah datang ke Sarawak dan saya yakin jumlah ini akan terus meningkat dan mencapai sasaran," katanya.

VIDEO: Festival Kraf Tekstil Borneo 2019 sasar jualan RM500,000

Tambah beliau, kerajaan juga berharap sasaran ketibaan 30 juta pelancong dengan RM100 billion bagi pendapatan pelancongan negara dapat diraih bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 atau VM2020 tahun hadapan.

Malam Gala Borneo Craft Textile diadakan bertujuan untuk mempromosi dan memartabatkan produk kraf tekstil Sarawak dan Sabah yang akan diperagakan dengan kolaborasi pereka fesyen tempatan iaitu Datuk Tom Abang Saufi, Tanoti Sdn Bhd, Pua Indah Enterprise dan pereka dalaman Kraftangan Malaysia.

-- BERNAMA