Ketua-ketua parti yang menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengadakan satu pertemuaan di Putrajaya pada Rabu.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Presiden Bersatu, memaklumkan semua pimpinan parti menzahirkan sokongan kepada beliau.

Katanya, mereka bermuafakat untuk memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Yang turut hadir pada pertemuan itu ialah presiden UMNO, PAS, MCA, MIC, PBB, SUPP, PDP, PRS, PBS, PBRS dan STAR.

Mesyuarat selama dua jam itu turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Whip Kerajaan PN dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.