Penubuhan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) bakal mengukuhkan sistem ramalan banjir dengan meningkatkan tempoh amaran sehingga dua hari lebih awal.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ini merupakan sebahagian daripada fasa pertama pelaksanaan PRABN.

"Amaran ini bukan sahaja bertujuan untuk disampaikan kepada masyarakat tetapi kepada agensi-agensi berkaitan pengurusan bencana.

"Sistem ini merupakan satu langkah jangka panjang selain projek tebatan banjir," kata Wan Junaidi bagi menjawab pertanyaan dari Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN - Kuala Selangor) ketika Sesi Pertanyaan Menteri pada Dewan Rakyat hari ini.

PRABN akan dilaksanakan di 40 sungai seluruh negara dalam tiga fasa dengan anggaran kos RM550 juta.

Fasa kedua akan dilaksanakan pada tahun 2018 hingga 2020 untuk 20 sungai manakala fasa ketiga akan dilaksanakan daripada 2021 hingga 2022 untuk lapan sungai.

PRABN telah dirasmikan pada 20 Mac lalu.