Siri jelajah 'Pusat Sehenti' Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akan mengumpulkan agensi-agensi kerajaan perumahan pusat dan negeri di bawah satu bumbung bagi mempamerkan dan menawarkan pelbagai produk perumahan mengikut citarasa dan kemampuan pembeli.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, ekspo itu juga bertujuan untuk meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia dari semua peringkat pendapatan.

"Kita mensasarkan peningkatan pemilikan rumah terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan pendapatan sederhana (M40) daripada RM2,500 hingga RM15,000.

Jelasnya lagi, ekspo itu akan diadakan di seluruh negara dan akan bermula di Ipoh, Perak berslogankan 'Tiada tertinggal, tiada terpinggir' dengan tawaran rumah sebanyak 38,000 buah pada harga bermula RM70,000 hingga RM300,000 ke atas," katanya sewaktu sidang media Ekspo Jualan Perumahan PR1MA di sini hari ini.

Tambahnya, ekspo yang bakal berlangsung selama lima hari itu akan bermula pada pada 1 hingga 5 Mac ini di Perak, dan akan berakhir di Perlis pada hujung April nanti.

Ekspo itu memberi peluang kepada pembeli rumah berpotensi untuk membeli daripada agensi lain seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Projek Perumahan Kakitangan Awam 1Malaysia (PPA1M) serta agensi daripada kerajaan negeri.

“Ekspo berkenaan akan disertai agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengelakkan kesukaran pemohon rumah PR1MA.

“Institusi perbankan seperti Maybank, CIMB, RHB dan Ambank akan turut serta untuk membantu pemohon menyemak kelayakan pinjaman untuk membeli rumah,” katanya ketika sidang akhbar mengenai ekspo itu.