Polis Thailand menahan 10 warga Malaysia suspek sindiket penipuan Macau Scam rentas sempadan yang amat dikehendaki dalam serbuan di sebuah rumah sewa dua tingkat di daerah Prawet di sini pada Khamis malam.

Sindiket itu menggunakan Thailand sebagai pangkalan operasi tetapi mangsa sindiket itu merupakan rakyat Malaysia di negara asal.

Dalang sindiket itu adalah warga Malaysia dan Taiwan. Serbuan itu dilakukan hasil kerjasama antara polis Thailand dan Malaysia," kata Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand Mej Jen Surachet Hakpal pada Jumaat.

Beliau berkata sindiket itu antara orang tersenarai yang dikehendaki polis Malaysia dan kejayaan pada Khamis malam tersebut adalah bukti kerjasama erat antara kedua-dua pasukan polis berkenaan.

Surachet, atau mesra dipanggil 'Big Joke' kalangan media Thai kerana perwatakannya yang menyenangkan, berkata sindiket berkenaan menyewa rumah itu sejak empat bulan lepas dengan bayaran kira-kira Bath 90,000 (RM11,250) sebulan.

Lelaki rakyat Malaysia itu jarang keluar rumah sepanjang empat bulan lepas, yang menimbulkan syak dalam kalangan jiran-jirannya, kata pegawai polis itu.

"Mereka beroperasi 24 jam sehari," katanya dan menambah polis telah mengumpulkan maklumat perisikan mengenai sindiket itu.

Surachet berkata sindiket tersebut dalam rancangan untuk berpindah ke tempat lain apabila polis menyerbu premis tersebut.

Katanya lelaki rakyat Malaysia itu cuba melarikan diri apabila pasukan polis menyerbu rumah itu tetapi cubaan mereka gagal kerana semua akses keluar dari rumah berkenaan disekat anggota polis.

"Penjenayah panik apabila polis mengetuk pintu rumah itu dan mereka cuba melarikan diri tetapi anggota kami telah bersedia," katanya.

-- BERNAMA