Pasukan Biro Pembanterasan Narkotik (NSB) Thailand menahan sebuah trak di wilayah Udon Thani awal pagi Khamis dan merampas hampir satu tan ganja (marijuana) untuk diseludup ke Malaysia.

Menurut Ketua NSB, Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, enam suspek termasuk seorang wanita berusia 40 tahun ditahan dalam operasi pada kira-kira 3 pagi (waktu tempatan) itu.

"Hasil soal siasat, suspek mendedahkan dadah itu akan diseludup ke Malaysia dari Takbai (sebuah daerah di Narathiwat yang terletak berhampiran sempadan Thailand-Malaysia dekat Kelantan)," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata lima lelaki yang ditahan dalam operasi itu berumur antara 31 hingga 46 tahun dan berasal daripada wilayah Satun, Nakhon Si Thammarat dan Phattalung di selatan Thailand.

Hasil pemeriksaan ke atas trak itu, sebanyak 21 guni berisi 917kg ganja ditemukan di dalam ruang kargo, katanya.

Pasukan NSB turut merampas lima kereta dan 15 telefon bimbit daripada suspek, kata Sommai.

Kawasan paling utara di Udon Thani, kira-kira sejam perjalanan dengan kenderaan dari sempadan Thailand-Laos dikenal pasti sebagai antara laluan pilihan sindiket dadah "Segi Tiga Emas" untuk menyeludup dadah. -- Bernama