Polis menahan seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai 'Raja Jin' di sebuah surau sekitar kawasan hutan simpan Bukit Bauk, di sini petang ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan di surau berkenaan pada pukul 3.20 petang, dan hasil saringan air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah methamphetamine.

Beliau berkata lelaki itu menjadikan surau berkenaan sebagai tempat tinggalnya, dan kehadirannya mula menimbulkan kegusaran kepada orang awam yang ingin singgah solat, atau beriadah di sekitar kawasan hutan simpan itu apabila dia menghiasi kawasan sekitar serta bahagian dalam surau dengan kain kuning dan pelbagai lagi simbol, serta perhiasan.



"Lelaki itu kini ditahan di lokap Balai Polis Dungun sementara menunggu perintah reman," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya siasatan mendapati Oktober lepas, lelaki itu ditahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru, sebelum disahkan menghidap penyakit berkaitan mental.

Katanya kes sedang disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagihan Dadah 1983. -- BERNAMA