Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mencuri dua buah plat getah landasan kereta api di kawasan Kilometer 5.5, Taman Impian Emas, Skudai, 22 Feb lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata kejadian pada pukul 6.40 petang itu disedari anggota Polis Bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang ketika itu sedang membuat kerja-kerja pemantauan.

"Anggota kita yang sedang menjalankan tugas ketika itu kemudian melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan dan telah menceroboh landasan kereta api di lokasi berkenaan.

"Polis berjaya menahan lelaki berkenaan dan hasil siasatan menjumpai sebuah karung guni yang mengandungi dua plat getah landasan kereta api," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas sebilah pisau yang diubah suai daripada simpanan suspek yang berusia 32 tahun.

Siasatan lanjut di kawasan berkenaan mendapati terdapat kesan umpil dan kehilangan dua plat getah pada landasan di lokasi berkenaan yang mana ia boleh menjejaskan kestabilan landasan tersebut.

"Kita bersama pihak KTMB memandang serius perbuatan jenayah yang melibatkan apa jua instalasi pengangkutan awam khususnya ke atas landasan kereta api kerana ia boleh membahayakan keselamatan dan nyawa awam," kata beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 64 (1)(b) Akta Keretapi 1991 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya (ABKLSB) 1958.

-- BERNAMA