Polis menahan 16 individu termasuk seorang wanita yang sedang leka bermain judi di sebuah premis kecantikan rambut di Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, di sini, pada Khamis.

Menurut Pegawai Turus D7 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor DSP Mohd Zairi Badderul@Badrol, kesemua warga tempatan berusia antara 21 dan 71 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 3 pagi.

"Perjudian jenis 'Tong Kaw' ini didapati mula beroperasi sejak sembilan hari lalu dan telah menjadikan premis berkenaan sebagai sarang menganjur perjudian untuk mengaut keuntungan dengan mudah iaitu modus operandinya dengan menjadikan kepingan cip dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas wang tunai berjumlah RM67,314, SGD1,000, 10 kerusi, dua biji dadu kecil, 16 batu Mahjong dan satu set dekoder kamera litar tertutup (CCTV).

"Selain itu, kami juga merampas 38 keping cip bernilai RM1,000 setiap satu, enam keping cip bernilai RM5,000 setiap satu, 38 keping cip bernilai RM100 setiap satu dan satu beg galas jenama Adidas manakala nilai pertaruhan keseluruhan perjudian ini dianggarkan RM139,114," katanya.

Mohd Zairi berkata kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Johor Bahru Utara untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan jika didapati bersalah, pemain perjudian boleh dihukum denda tidak melebihi RM 2,000.