Polis masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan 10 nelayan yang dipercayai diculik penculik yang mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Abu Sayyaf awal pagi Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, siasatan lebih menjurus kepada lokasi mereka diculik sama ada di perairan negara atau di perairan antarabangsa.

Malah tegas beliau, setakat ini tiada laporan polis dibuat susulan penculikan itu.

"Tiada laporan dibuat. Pegawai dan anggota saya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sedang ambil keterangan mangsa yang dikatakan membuat panggilan kecemasan.

"Perincian sama ada mereka diculik di perairan negara ini atau di sempadan (perairan antarabangsa) masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

Menurut laporan The Star, 10 daripada mangsa culik merupakan kru daripada dua buah kapal nelayan.

Kesemua mangsa dipercayai warga Filipina itu diculik kumpulan lengkap bersenjata dan bot laju di pada pukul 2 pagi Selasa.

Manakala enam nelayan yang lain berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Sementara itu, pihak Maritim Malaysia Sabah ketika dihubungi Astro AWANI enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini.