Polis mengesahkan terdapat cubaan rakyat negara ini untuk "berjihad" di Rakhine, Myanmar susulan penindasan ke atas masyarakat minoriti Islam Rohingya yang dihebahkan kumpulan militan Daesh.

Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorisme Cawangan Khas (E8) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata isu berkenaan dilihat menjadi senjata utama kumpulan berkenaan untuk mempengaruhi orang ramai dan seterusnya merekrut ahli baharu untuk kegiatan keganasan.

Beliau berkata penularan atau perkongsian gambar rakyat Rohingya yang ditindas di wilayah berkenaan secara meluas di media sosial turut membantu kumpulan berkenaan untuk menarik simpati dan penyertaan ahli baharu.

"Konflik di Rakhine masih baharu dan kita sedang mengumpul maklumat mengenainya. Bukan semuanya yang berlaku di sana kita tahu tetapi mungkin dalam masa sebulan atau dua bulan lagi ada usaha itu.

"Lagipun kita memang ada maklumat risikan berhubung kemungkinan rakyat Indonesia yang terlibat dalam aktiviti militan di negara mereka merancang untuk ke sana (Rakhine)," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kesedaran Ancaman ISIS Terhadap Golongan Belia di sini, hari ini.



Majlis tersebut dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan turut dihadiri Timbalan Exco Pembangunan Belia dan Warisan negeri Datuk Norpipah Abdol.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, kedudukan Myanmar yang berdekatan dengan Malaysia mendorong kumpulan militan Daesh untuk bertindak di Rakhine.

"Jika dilihat (dari segi kedudukan) Myanmar lebih dekat dengan Malaysia berbanding Syria dan selatan Filipina. Lagipun memandangkan di selatan Filipina konflik di sana tak pernah berakhir, maka pilihan lain untuk 'berjihad' ialah Rakhine," katanya.

Beliau berkata walaupun aktiviti merekrut pengganas ke Rakhine masih baharu namun pihaknya sedang mengumpul maklumat tentang perkara tersebut termasuk kaitannya dengan penahanan seorang lelaki berusia 38 tahun dari Melaka pada 10 Sept lepas.

Katanya berdasarkan maklumat risikan, lelaki berkenaan, seorang penjual cendol, ditahan kerana disyaki aktif mempromosikan perjuangan kumpulan militan Daesh dengan mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan berkenaan selain merancang menyertai Daesh di Filipina dan Rakhine.

Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata aktiviti merekrut ahli baharu dalam kalangan rakyat negara ini masih diteruskan walaupun ketua Daesh Asia Tenggara, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi yang berasal dari Melaka telah meninggal dunia dalam satu serangan dron di Raqaa, Syria pada hujung April lepas.

Beliau berkata terdapat empat lagi rakyat Malaysia masih berada di Syria yang dipercayai masih aktif merekrut rakyat Malaysia dan sentiasa mencari peluang dan ruang untuk melakukan serangan sekiranya pihak polis leka.

"Polis memang sentiasa memantau dan akan mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan Daesh dan boleh menggugat keselamatan negara," katanya.

Sementara itu, Idris berkata semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini digesa memantau perkembangan di kawasan mereka bagi mengekang penularan sebarang aktiviti berkaitan militan Daesh.

Beliau berkata pihak berkenaan juga perlu melaporkan terus sebarang aktiviti atau kehadiran individu mencurigakan kepada pihak polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya ada menerima lebih tiga laporan berkaitan aktiviti melibatkan penceramah agama yang meragukan dan kes berkenaan telah diserahkan kepada Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA