Polis Perak merampas 16.4 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dibungkus dalam bungkusan teh Cina semasa serbuan di Jalan Medan Ipoh, Perak pada Sabtu.

Serbuan jam 9.30 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik itu, turut menahan seorang lelaki warga Malaysia berketurunan Siam berusia 36 tahun, bersama 15 bungkusan paket teh Cina yang mengandungi dadah.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, lelaki dari Kedah itu dipercayai sedang menunggu untuk menghantar bekalan dadah berkenaan kepada pengedar.

“Suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak untuk siasatan lanjut. Nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas adalah dianggarkan RM656,800. Turut disita sebuah kenderaan jenama Honda yang bernilai RM80,000.

“Suspek direman tujuh hari bermula pada 16 Ogos sehingga 22 Ogos. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Polis percaya dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan untuk kegunaan kira-kira 164,000 penagih.

Polis sedang menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dalam mana-mana sindiket pengedaran dadah.