Polis Perak akan mempertimbangkan untuk menambah anggota polis di Pulau Pangkor berikutan pengisytiharannya sebagai Pulau Bebas Cukai (PBS) bermula 1 Januari lepas.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Razaruddin Husain, cadangan penambahan itu termasuk anggota polis pelancong yang akan ditempatkan di Pulau Pangkor.

"Pertambahan anggota masih dalam kajian, terutama anggota polis pelancong yang perlu kita tempatkan di Pulau Bebas Cukai (Pulau Pangkor).

"Kita masih dalam peringkat perbincangan dan ada juga yang telah pun dikeluarkan arahan untuk bertugas sebagai polis pelancong di Pulau Pangkor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, di sini, hari ini.

Katanya lagi, sehingga kini terdapat dua pegawai dan 32 anggota ditugaskan di Balai Polis Pulau Pangkor.

Dalam pada itu, Razarudin dalam ucapannya berkata Polis Perak telah mewujudkan Digital Vehicular Repeater System (DVRS) bagi menyelesaikan liputan perhubungan komunikasi di pulau tersebut.

Katanya, dengan pengurusan kemudahan prasarana oleh Jabatan Logistik dan Teknologi PDRM Perak itu, pihaknya berharap supaya kecemerlangan PDRM dapat dikekalkan dari masa ke semasa.