Polis memperoleh waran tangkap terhadap Jho Low dan rakan-rakan subahat beliau, termasuk tiga bekas pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Waran dikeluarkan disebabkan pertuduhan yang melibatkan kerugian sebanyak AS$1.17 bilion (RM4.2 bilion).

Perkara ini diumumkan oleh oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mereka yang akan dikenakan tindakan undang-undang adalah Low Taek Jho atau Jho Low; Eric Tan Kim Loong atau ‘Fat Eric’; Casey Tang Keng Chee; Jasmine Loo Ai Swan, dan Terence Geh.

Kelima-lima penama telah melarikan diri daripada pihak berkuasa tempatan.

PDRM mengatakan bahawa pihaknya akan mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa luar negara dan Interpol dalam mengesan kesemua suspek.

PDRM juga menyatakan bahawa jika dikesan di mana-mana negara, polis melalui Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan untuk memohon ekstradisi bagi membolehkan mereka menghadapi pertuduhan di Malaysia.

Casey Tang adalah bekas Pengarah Pembangunan Perniagaan 1MDB. Jasmine Loo pula merupakan bekas Penasihat Perundangan 1MDB sementara Terence Geh pula adalah bekas Pengarah Eksekutif 1MDB.

Eric Tan, ataupun lebih dikenali sebagai ‘Fat Eric’ adalah rakan subahat Jho Low, dimana Jho Low menggunakan beliau untuk sebarang komunikasi dengan pihak berkuasa mahupun bank.

Dalam laporan Wall Street Journal, Jho Low menggunakan akaun gmail di bawah nama ‘Fat Eric’ untuk melaksanakan beberapa transaksi pemindahan wang.

Jumlah pertuduhan yang dihadapi kelima-lima penama di atas adalah sebanyak 13 pertuduhan.

Pertuduhan ini adalah hasil daripada siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM.

Butiran pertuduhan yang difailkan oleh PDRM di Mahkamah Sesyen Jenayah di Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 4 Disember 2018 melibatkan Akta Pengubahan Wang Haram dan Kanun Keseksaan.

Jho Low sendiri menghadapi lima pertuduhan di bawah Akta Pengcegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berhubung dengan penerimaan wang berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.1 bilion) ke dalam akaun Good Star Limited di RBS Coutts Bank AG Zurich, Switzerland, di antara 30 September 2009 hingga 25 Oktober 2011.

Eric Tan dan Jho Low dituduh bersama-sama dalam dua pertuduhan di bawah akta Pencegahan Wang Haram melibatkan kerugian berjumlah AS$126 juta (RM600 juta) yang diterima mereka berdua melalui akaun bank RBS Coutts Bank Limited di Singapura. Akaun ini milik ACME Time Limited. Wang ini berkaitan dengan MTN atau Medium Term Notes oleh Terengganu Investment Authority (TIA) dalam bulan Mei 2009.

Bekas pegawai 1MDB, Casey Tang yang juga merupakan rakan baik Jho Low dikenakan sebanyak tiga pertuduhan. Satu pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah jenayah. Ini berhubung dengan pemindahan wang AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke akaun Good Star Limited milik Jho Low. Dua lagi pertuduhan melibatkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram melibatkan AS$6.7 juta (RM25 juta) yang diterima ke dalam akaun Transnation Limited (Seychelles) di RBS Coutts AG dan Syarikat Totality Limited di BSI Bank Switzerland. Masing-masing berlaku pada 5 Ogos 2009 dan 23 Disember 2010.

Jasmine Loo, iaitu bekas Pegawai Perundangan 1MDB, dikenakan dua pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram melibatkan kerugian sebanyak AS$6 juta (RM25 juta) yang diterima oleh Falcon Private Bank AG Zurich, Switzerland. Akaun ini milik syarikat River Dee Internasional SA (BVI) dan wang haram ini dipindahkan antara 6 Disember 2012 dan 1 Julai 2014.

Terence Geh, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB dikenakan satu pertuduhan pecah amanah dibawah Kanun Keseksaan berhubung dengan pemindahan wang AS$125 juta (RM600 juta) ke akaun Good Star Limited milik Jho Low pada 25 Oktober 2011.