Polis Kelantan berjaya merampas sejumlah dadah seberat 2.7 tan yang dianggarkan bernilai hampir RM60 juta dalam dua serbuan berasingan, menjadikan ia rampasan terbesar di negeri ini, pada tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Tanjung Chat, di sini, pada jam 10 malam, 1 September lalu, pasukannya menemui sejumlah dadah bernilai RM42.2 juta serta sepucuk pistol.

"Semasa pemeriksaan di rumah itu, polis menjumpai ganja seberat 1,293 kilogram (kg), syabu 972.4 kg, pil yaba 11,800 biji serta sepucuk pistol dengan lapan biji peluru.

"Susulan penemuan itu, polis telah berjaya mengesan dan menahan lima lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 25 tahun di sebuah rumah di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu pada jam 1.20 pagi hari yang sama.

"Siasatan lanjut mendapati lima suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan narkotik dan direman selama seminggu sehingga 8 Septembe," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga menyita dua akaun bank yang bernilai RM204,558 selain masing-masing sebuah Toyota Vellfire, Perodua Myvi dan motosikal Yamaha 125z.

Katanya susulan itu, polis kini memburu seorang suspek berusia awal 30-an yang disyaki menjadi dalang sindiket pengedaran dadah tersebut.

Katanya, dadah yang dirampas itu dipercayai dibawa dari negara jiran dan untuk dijual di pasaran tempatan.

Sementara itu, katanya dalam serbuan berasingan pada jam 7 pagi Khamis lalu, sebanyak 441 kg syabu ditemui di sebuah pangkalan haram di tepi Sungai Golok di Pasir Mas dekat sini, yang dianggarkan bernilai RM17.6 juta.

Katanya, bagaimanapun dalam rampasan yang dilakukan Batalion 8 Pasukan Gerakan AM (PGA) yang sedang membuat rondaan itu, tiada tangkapan dibuat kerana tiada suspek berada di lokasi berkenaan.