Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM2.6 juta dalam tiga serbuan berasingan di Pasir Mas, Kota Bharu dan Gua Musang.

Serbuan dalam tempoh 24 jam, antara jam 5.30 petang hingga 9.30 malam kelmarin itu turut menyaksikan tujuh suspek termasuk empat wanita berusia antara 17 hingga 51 tahun ditahan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sejumlah dadah termasuk pil yaba 122,370 biji, 55 gram syabu dan heroin seberat 50.7 gram berjaya dirampas.

Katanya, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kubang Jong.

“Untuk nilai rampasan dadah, RM2 juta lebih, kemudian harta sitaan RM115,000, segala jenis pil berjumlah 122,000 biji pil dan semua tangkapan (berusia) antara 17-51 tahun,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Susulan serbuan itu pihaknya merampas 6,000 pil yaba seberat 675 gram yang dijumpai di dalam bungkusan warna hitam serta syabu seberat 55 gram.

Dalam serbuan kedua di Kampung Kubang Rawa, Kota Bharu membawa kepada penahanan seorang wanita warga Thailand berusia 31 tahun.

Polis turut menemui 112,000 pil yaba bernilia RM1.68 juta yang disimpan dalam peti besi di dalam sebuah bilik.

Manakala, serbuan ketiga di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang berjaya menahan lima suspek iaitu dari satu keluarga dan seorang wanita warga Thailand.

Dadah jenis heroin seberat 50.7 gram dan 4,370 pil yaba yang bernilai RM110,050 berjaya dirampas dalam serbuan ketiga.

Kesemua suspek berkenaan di tahan direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga selasa ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.