Susulan inkuiri awam sejak Oktober 2017 lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) berkata antara rumusan yang dibuat panel inkuiri terbabit adalah bahawa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab di atas kehilangan paderi Raymond Koh Keng Joo dan aktivis Amri Che Mat.

Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai bersama anggota panel, Prof. Datuk Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila membentangkan hasil inkuiri awam itu hari ini.

Panel SUHAKAM menegaskan bahawa kehilangan kedua-dua individu tersebut bukan kes kehilangan secara sukarela, tetapi secara paksaan yang melibatkan campur tangan ajen-ajen kerajaan, khususnya daripada Cawangan Khas, Bukit Aman.

Kesimpulan itu berdasarkan bukti daripada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin yang mendakwa seorang pegawai Cawangan Khas dari Perlis, Sarjan Shamzaini Mohd Daud, memberitahunya bahawa Cawangan Khas, Bukit Aman telah melakukan kehilangan secara paksa ke atas kedua-dua individu terbabit.

Seramai 16 individu memberi keterangan dalam inkuiri tersebut, termasuk bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar.

Amri merupakan seorang aktivis sosial dan pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope manakala Raymond pula pengasas persatuan Harapan Komuniti.

Kali terakhir paderi Raymond dilihat, beliau dipercayai diculik pada pagi 13 Februari 2017 di Petaling Jaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu rakannya.

Beberapa bulan sebelum itu, Amri pula kali terakhir dilihat oleh isterinya, Norhayati pada 24 November 2016, sebelum keretanya ditemui dengan tingkap dipecah di satu tapak pembinaan terbengkalai.