Polis sedang mengesan tiga lelaki yang menyerang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Setia Alam dengan menggunakan batang besi dan besi berantai, pada Isnin lalu

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib, kejadian berlaku pada pukul 1 petang ketika mangsa yang berusia 15 tahun itu selesai sesi persekolah dan menunggu bapanya di luar sekolah.

"Mangsa secara tiba-tiba didatangi empat lelaki dengan memakai topeng bersenjatakan batang besi dan besi berantai.

"Salah seorang suspek yang memegang rantai besi menghayunkan senjata itu dan terkena siku mangsa.

"Cemas, mangsa melarikan diri masuk ke dalam kawasan sekolah dan pergi ke pondok pengawal bagi mendapatkan perlindungan. Mangsa mengalami bengkak di bahagian siku," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Baharudin berkata kesemua suspek datang menaiki kereta jenis Suzuki Swift berwarna biru.

Susulan itu, pihak polis membuat operasi bagi mengesan kesemua suspek di beberapa alamat di sekitar Lembah Klang. Hasilnya, salah seorang suspek yang berusia 19 tahun datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 11.30 malam pada Selasa.

"Perintah reman telah diperoleh untuk menahan suspek berkenaan sehingga Jumaat ini, justeru polis memberi amaran kepada semua suspek lain agar tampil segera menyerah diri untuk membantu siasatan.

"Siasatan kes ini masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian dari semua sudut termasuk penglibatan kumpulan kongsi gelap," jelas beliau.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Zamhidatul di nombor telefon 010-4512505 atau 03-55202222.

Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata.