Polis percaya dapat merungkai kes tembak melibatkan pemandu kepada bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada 2017, dengan penahanan 12 ahli kumpulan kongsi gelap ‘AYT 99’ termasuk ketua kumpulannya, dalam operasi yang dilakukan di sekitar Kelantan dan Selangor pada 22 Jan lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata antara yang ditahan termasuk dua daripada tiga suspek yang terlibat dengan kes itu, manakala penembak berusia 40-an masih diburu.

“Dalam operasi besar-besaran yang dilakukan Bahagian Anti Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) itu, identiti dua suspek yang terlibat telah dikenal pasti, motif kes berkenaan didapati tiada kena mengena, dengan Abdul Gani.

“Polis kini masih memburu penembak yang terlibat dalam kes itu, selain mengesan 20 ahli kumpulan berkenaan. Mereka ini dipercayai berasal daripada pantai timur,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, di sini, pada Isnin.

Hasil operasi itu, polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Camry, beberapa buah telefon bimbit serta senjata api, iaitu tiga pucuk pistol, pedang panjang dan wang tunai RM4,000 sepanjang tempoh operasi berkenaan.
Dua daripada tiga pucuk pistol itu dipercayai diguna dalam tiga kes jenayah, termasuk kes tembak bekas pemandu kepada Abdul Gani dan kes tembak seorang lelaki tempatan, di Sungai Buloh dan Klang.



Huzir berkata, selain kes berkenaan, kumpulan AYT 99 turut didapati terlibat dengan beberapa kegiatan kekerasan sejak 2012, termasuk kes ugut seorang pegawai kanan polis pada September tahun lepas.

“Kesemua yang ditahan berumur dalam lingkungan 24 hingga 49 tahun itu, didapati mempunyai rekod jenayah dan akan didakwa esok (Selasa) mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), di Mahkamah Majistret Klang selepas direman 28 hari sejak ditahan."

Dalam perkembangan lain, Huzir berkata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak bersama isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, akan dipanggil memberi keterangan sebelum hujung bulan ini, berhubung rakaman audio Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 12 Feb lepas, polis telah mengambil keterangan 12 saksi, bagi membantu siasatan pendedahan sembilan rakaman audio oleh SPRM, yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Mereka yang telah dirakam percakapan termasuk Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Tan Sri Shukry Mohd Salleh, dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.

BACA: "You are the Prime Minister, you should take charge ..." - Audio rakaman dipercayai mirip suara Rosmah, Najib

Pada 8 Jan lepas, SPRM mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa melibatkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib, semasa beliau menjadi perdana menteri, dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu, dipercayai rakaman perbualan melibatkan Rosmah, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

-- BERNAMA