Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia sedang berbincang mengenai kerjasama sesama anggota dalam pewujudan pusat pemeriksaan daratan atau Road Check Point (RCP) di Kalabakan, Tawau dan Telupid, Beluran.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata kerjasama itu penting dalam pelaksanaan RCP iaitu inisiatif tambahan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi mengetatkan kawalan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

"Inisiatif pelaksanaan itu bagi menghalang kebarangkalian pelbagai aspek penyeludupan termasuk pemerdagangan manusia di kawasan darat ESSZone," katanya ketika ditemui di Pejabat Pasukan Polis Marin di sini, sempena lawatan kerjanya hari ini.

Di samping RCP, katanya ESSCom turut mewujudkan langkah menghalang penyeludupan di laut ESSZone menerusi pelaksanaan Sea Check Point (SCP) di Pulau Berhala di Sandakan, Pulau Siamil di Semporna dan Pulau Karakit di Kudat.

"Inisiatif tambahan ini diwujudkan bagi memastikan Sabah kekal selamat daripada ancaman luar yang tiada diduga," katanya lagi.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata tahun lalu seramai 1,918 pesalah terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana pelbagai kesalahan dalam 1,648 operasi di ESSZone.

"Seramai 258,000 individu turut diperiksa tahun lalu dan RM16.9 juta rampasan dilakukan," katanya.

Sementara itu, katanya Malaysia akan menjalankan operasi dan latihan bersama Amerika Syarikat dan Polis Antarabangsa (Interpol) pada Febuari serta Mac ini di Sandakan dan Tawau.

"Kerjasama ini melibatkan keselamatan maritim dan kita ambil faedah daripada kerjasama situasi menang-menang ini.

"Kita belajar kepakaran teknologi serta kemahiran mereka dan sebaliknya," katanya lagi.

Mengenai Op Maharlika yang turut melibatkan Brunei, Indonesia dan Filipina, Zulkifli berkata Malaysia sedang berbincang lanjut dengan Interpol yang berpangkalan di Perancis itu untuk mengadakan siri Op Maharlika seterusnya selepas kejayaan kerjasama pada siri lepas.

Dalam operasi itu, seramai 103 individu ditahan mengikut akta pemerdagangan, imigresen dan kastam di Malaysia.

-- BERNAMA