Meskipun menjalani kuarantin di rumah, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah terlepas daripada memantau dan mengikuti perkembangan COVID-19 di Malaysia.

Menjelaskannya, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, beliau mengadakan sidang video bersama Perdana Menteri sebaik sahaja selesai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Selepas mesyuarat khas pagi tadi (Khamis), saya berpeluang membuat sidang video bersama Perdana Menteri yang sedang menjalani proses kuarantin di rumah.

"Selalunya, laporan saya akan dibuat pada mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh beliau," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya, pada Khamis.

Kata Ismail Sabri, memandangkan Muhyiddin dikuarantin, beliau bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan mengenai perkembangan COVID-19 menerusi sidang video kira-kira lebih setengah jam.

Pada 22 Mei lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan Muhyiddin perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di kediamannya selepas seorang daripada pegawai yang hadir pada mesyuarat pasca Kabinet disahkan positif COVID- 19.

Kenyataan itu turut memberitahu, ujian COVID-19 yang dijalankan mengesahkan Perdana Menteri negatif daripada jangkitan itu.