Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menziarahi jenazah Ahli Parlimen Jelebu Datuk Zainudin Ismail, 57, yang meninggal dunia kira-kira 7.30 malam tadi.

Najib yang diiringi timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tiba di kediaman Zainudin di Villa Puteri Condo, Jalan Tun Ismail di sini, kira-kira 10 malam, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Khas bersempena dengan Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di Menara Datuk Onn di sini.

Najib dan Ahmad Zahid turut mengucapkan takziah kepada isteri Allahyarham, Datin Ruziah Yaacob dan anaknya Muhammad Arif, serta membaca doa untuk Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tanj Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Tan Sri Rais Yatim.

Sementara itu, Muhammad Arif berkata bapanya menghembuskan nafas terakhir semasa koma setelah menjalani pembedahan ketumbuhan dalam otak.

"Ayah mula tidak stabil kira-kira 7 malam. Keadaan semakin teruk selepas itu sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi semua anggota keluarga," katanya kepada Bernama.

Beliau menyifatkan bapanya sebagai seorang yang tegas namun amat mementingkan hubungan kekeluargaan.

Beliau berkata bapanya menjalani pembedahan akibat ketumbuhan dalam otak di Hospital Kuala Lumpur pada 13 Mei tahun lepas sebelum koma kira-kira dua bulan lepas.

Allahyarham meninggalkan isteri dan tiga orang.

Jenazahnya akan dibawa pulang ke Jelebu malam ini untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Petaseh Hilir, Jelebu sebelum Zohor esok.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Jelebu Datuk Jalaluddin Alias berkata pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO dan masyarakat Jelebu.

Pada pilihan raya umum lepas, Zainudin menewaskan Raj Munni Sabu daripada PAS dengan majoriti 7,101 undi. -- Bernama