Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak hari ini menyeru golongan bijak pandai Islam di negara ini untuk membina teologi berdasarkan sumber Al-Quran dan Hadith.

Seterusnya, kata Perdana Menteri, ilmuwan Islam ini perlu merangka pelan tindakan yang bersesuaian untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia.

Katanya, ia antara langkah yang bersesuaian dalam usaha kerajaan menangani gejala ekstremisme serta membetulkan persepsi dunia mengenai ajaran Islam sebenar.

"Propaganda yang disebarkan militan Daish sangat licik.

"Kita perlu melakukan apa sahaja di bawah bidang kuasa kita untuk menerangkan kepada dunia mengapa militan ini bertentangan dengan ajaran Islam sebenar," katanya sewaktu berucap menutup Dialog Sekuriti Antarabangsa Putrajaya 2018 (PSID2018) di sini.

Dialog yang berlangsung selama dua hari itu, bertemakan "Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Memerangi Terrorisme", merupakan anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri dan Liga Muslim Dunia Rabitah Al-Alam Al-Islami, dan disertai barisan speaker terkemuka daripada Singapura, Jepun, Turki, Filipina dan Malaysia sendiri.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Dr Muhammad Abdul-Kareem Al-Issa.

Berucap lanjut, Najib turut menyentuh mengenai kepentingan mengamalkan konsep 'wasatiyah' atau kesederhanaan sebagai usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia, baik Muslim ataupun bukan Muslim.

"Kepercayaan kami dalam kesederhanaan membolehkan kita membangkitkan isu hak asasi masyarakat Rohingya dan Palestin…kesederhanaan bukan satu laluan yang mudah. Kadang-kala ianya memerlukan kita membuat keputusan dengan berani.

"Tetapi kita akan terus melakukannya tanpa memperdulikan kritikan kerana bagi kita ianya perlu untuk membela nasib saudara kita yang berhak menerima keadilan serta perhatian dan bantuan dunia," katanya lagi.

Walaupun begitu, Perdana Menteri memberi amaran lebih banyak perlu dilakukan bagi memastikan ideologi ekstremisme dapat dibendung sepenuhnya kerana walaupun Daish semakin lemah di Syria dan Iraq, terdapat usaha yang serius untuk mengembangkan ideologi itu di rantau ASEAN.

Katanya, 95 rakyat Malaysia telah dikenal pasti terlibat dalam aktiviti Daish di Syria dan Iraq di mana 35 daripadanya telah terbunuh, lapan lagi telah kembali dan berada dalam tahanan, manakala selebihnya terdiri daripada 36 orang dewasa dan 17 kanak-kanak masih berada di sana.

"Cuma ada satu serangan berkaitan Daish yang berjaya dilakukan di sini, tetapi kita harus bersyukur kerana tiada nyawa terkorban. Tetapi itu menuntut tahap kesiapsiagaan kita yang lebih tinggi.

"Kita harus terus memastikan pihak keselamatan negara mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk memerangi mereka yang merancang untuk mengakibatkan kematian dan kemusnahan di tanah air kita ini," katanya.

Sehubungan itu, Najib berkata, SID2018, bukan sahaja satu platform untuk mengetengahkan idea kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam menangani keganasan, tetapi juga sebagai satu panggilan kepada pakar-pakar agama dan institusi berkaitan untuk lebih proaktif dan inovatif dalam merangka kaedah-kaedah yang bersesuaian.

Pelan tindakan yang beliau cadangkan itu harus mendapatkan input berterusan daripada bukan sahaja cendekiawan belainan agama, tetapi juga daripada pakar media, usahawan, ahli politik, diplomat dan pakar dalam anti-keganasan.

"Pelan tindakan ini akan menggerakkan kita menjadi komuniti dan kerajaan yang dapat melaksanakan teologi kesederhanaan dalam perundangan secara lebih proaktif," katanya lagi.