Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan bernilai RM1.3 bilion bagi lima projek infrastruktur di Langkawi menerusi peruntukan Rolling Plan Ketiga (PR3) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri berkata, lima projek infrastruktur itu adalah merangkumi projek tadahan air, menaik taraf Hospital Langkawi, pembinaan balai bomba, kuarters dan jalan raya.

Malah menurut beliau, Kerajaan Persekutuan meluluskan pembesaran Hospital Langkawi melalui pembinaan bangunan tambahan dengan kos berjumlah RM500 juta.

“Hospital Langkawi masa kini hanya dapat menampung 110 katil pesakit. Bangunan baharu kelak akan dilengkapi 220 katil, Unit Rawatan Rapi, Unit Rawatan Jantung dan beberapa dewan bedah, klinik pakar dan jabatan rehabilitasi,” katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran Go 4.0 Langkawi di Perkarangan Parkir LADA di Kuah, Langkawi.

BACA: Langkawi kekal pulau bebas cukai - Jaminan PM Najib

Dalam pada itu, Najib berkata, Kerajaan Persekutuan juga meluluskan pembinaan kuarters dan integrase untuk kakitangan Jabatan Kesihatan di Langkawi dengan kos RM1.35 juta.

Malah, kata beliau, kerajaan meluluskan pembinaan balai bomba dan kuarters Padag Matsirat, Langkawi dengan kos RM30 juta.

“Kerajaan juga akan menaik taraf Jalan Persekutuan bulatan Lapangan Terbang-Pulapol dengan kos RM50 juta.
“Bagi menangani keperluan air bersih sehingga tahun 2040, Unit Perancang Ekonomi telah meluluskan peruntukan RM600 juta untuk membina kemudahan tadahan air di Padang Matsirat,” katanya.