Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mencari jalan penyelesaian segera berhubung aduan pengguna mengenai perkhidmatan syarikat berkenaan.

Dalam catatan terbaru di laman Facebook rasmi beliau, perdana menteri berkata, antara komen dan maklum balas pengguna adalah mengenai Perkhidmatan Keretapi Elektrik (ETS) dan sistem pembelian tiket dalam talian.

"Saya terima banyak komen dan maklum balas ketidakpuasan hati pengguna dengan perkhidmatan KTM Berhad, salah satunya mengenai ETS dan sistem pembelian tiket online (dalam talian) yang sering kali bermasalah, tidak mesra pengguna dan kadang-kadang tidak boleh diakses.

"Ini bukan perkara sukar untuk diatasi, tidak patut berlaku di zaman teknologi hari ini," kata perdana menteri.

Selain meminta KTMB mencari penyelesaian segera, Najib turut meminta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memantau dan melaporkan terus kepada beliau secepat mungkin.

-- BERNAMA