Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan nombor pendaftaran kenderaan khas T1M atau Transformasi 1Malaysia, diilhamkan daripada aspirasi Nasional 2015 yang diperkenalkan beliau.

Beliau yang hadir menyaksikan pertandingan 'Salute Malaysia Drift Challenge 2017' di Indrapura Karting Circuit di sini hari ini, turut menerima nombor pendaftaran T1M 11, selaku penghargaan kepada beliau sebagai bapa transformasi negara.

Pengerusi Pertubuhan Transformasi Anak Muda Malaysia Helmi Yusof berkata penjualan nombor pendaftaran itu telah mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan.

"Pihak kami akan menguruskan penjualan nombor pendaftaran itu dan hasilnya akan diguna untuk melaksanakan usaha transformasi anak muda dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

"Bidaan akan dibuka secara rasmi esok (20 Nov) sehingga 20 Dis depan bermula daripada T1M 1 hingga T1M 1,000. Mereka yang berjaya membida perlu membuat pendaftaran di pejabat JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur sehingga 31 Julai 2018," katanya.

Helmi menambah mereka yang mahu mendapatkan borang atau maklumat lanjut berhubung penjualan nombor pendaftaran itu boleh melayari laman web www.platt1m.com.

-- BERNAMA