Pengamalan polisi mesra industri pengangkutan udara tambang rendah yang direncana kerajaan telah membantu syarikat penerbangan seperti AirAsia untuk maju dengan pesat.

Bagi mengiktiraf usaha tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia Tan Sri Tony Fernandes telah menggelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai 'Bapa Pengangkutan Udara Tambang Rendah'.

"Tanpa polisi yang mewujudkan persekitaran yang baik untuk kami maju, AirAsia tidak mungkin dapat mencapai kejayaan yang telah kami kecapi selama ini.

"Kami amat berterima kasih kepada Datuk Seri (Najib) atas sokongan yang diberi dalam usaha kami memajukan industri ini," kata beliau dalam ucapannya di Majlis Perasmian RedQ, ibu pejabat syarikat tersebut di Sepang pada petang ini.

Sementara itu, Datuk Seri Najib mengucapkan terima kasih di atas pengiktirafan itu dan memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus komited memastikan syarikat-syarikat besar yang diasaskan di Malaysia terus berkembang.

"Memang sudah menjadi tanggungjawab saya untuk merencana polisi yang membantu syarikat swasta untuk berkembang di negara ini," kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun.