Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melancarkan panduan kerja sektor awam myPortfolio yang merupakan instrumen pengurusan strategik untuk memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Ketika melancarkan myPortfolio, Dr Mahathir berkata ia merupakan rujukan dalam penyediaan dokumen berkaitan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab yang lebih teratur di peringkat jabatan dan individu.

Inisiatif itu adalah bagi memastikan tidak berlaku kelewatan dan kesilapan dalam pelaksanaan tugas, sekali gus dapat meningkatkan produktiviti di jabatan kerajaan.

Menurut Dr Mahathir, usaha ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan daya saing negara.

myPortfolio yang diperkenalkan Unit Pemodenan Pentadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merupakan manual kerja bagi penjawat awam.

Dr Mahathir Mohamad berkata pada asasnya myPortfolio menjelaskan kepada anggota penjawat awam berhubung skop sesuatu tugas secara terperinci serta parameter tugas mereka dengan pegawai lain.

Menurut Dr Mahathir, myPortfolio memperkenalkan sistem rujukan kepada agensi kerajaan dalam proses penyediaan dokumen berkaitan dengan prosedur, proses kerja dan tanggungjawab penjawat awam.

“Kerajaan terus komited untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menyokong kepada peningkatan daya saing di peringkat global melalui pelbagai dasar mesra perniagaan,” kata beliau dalam sidang media selepas melancarkan sistem myPortfolio di sini pada Selasa.

Berbanding dengan sistem dahulu, myPortfolio menyelaraskan manual prosedur daripada 22 komponen kepada hanya 10 komponen.

Ia sekali gus mampu memendekkan tempoh masa serta menambah baik kecekapan pelaksanaan tugas dalam perkhidmatan awam selain mengelak pembaziran kos dalam melaksanakan sesebuah projek.

Dr Mahathir berkata langkah ini juga seiring dengan kejayaan negara menaiki dua tangga dalam laporan terkini ‘Ease of Doing Business Report 2019’ oleh Bank Dunia dari tempat ke-24 kepada tempat ke-15 dalam kalangan 190 negara.

“Kedudukan ini meletakkan Malaysia mengatasi beberapa buah negara maju seperti Perancis, Switzerland dan Jepun.

"Kita juga berada pada kedudukan keenam di Asia Pasifik selepas New Zealand, Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Taiwan,” tambah Dr Mahathir lagi.

Pencapaian-pencapaian ini juga, kata Dr Mahathir, amat penting bagi negara kerana ia mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang sesuai dan mesra perniagaan.

Bagaimanapun, pengiktirafan tersebut, tegas perdana menteri, tidak statik dan kerajaan tidak patut berhenti berusaha memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam yang sedia ada.

Jelas beliau, penjawat awam perlu berpegang kepada prinsip-prinsip dan nilai murni dalam melaksanakan tugas mereka.

“Saya ingin memperingati semua anggota kerajaan bahawa sistem atau cara melakukan sesuatu, walau bagaimana baik sekalipun, tidak akan berjaya jika pengamal sistem tidak gunanya dengan jujur, disiplin dan semangat,” jelas Dr Mahathir lagi.

Diselenggarakan oleh MAMPU agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, myPortfolio mula dikuatkuasakan pada 12 Julai 2018.