Kerajaan Persekutuan telah meluluskan penganjuran sambutan Hari Malaysia 2020 pada 16 Sept ini, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan lokasi sambutan itu tidak lama lagi.

"Kita tunggu Muhyiddin dan Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) umumkan perkara berkenaan (lokasi sambutan itu)," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Galeri Songket dan Keringkam, di sini, hari ini.

Sambutan Hari Malaysia dianjurkan secara bergilir-gilir antara Sarawak dan Sabah sejak 2012.

Tahun lalu, sambutan diadakan secara tertutup di Stadium Perpaduan di Petra Jaya, di sini, berikutan fenomena jerebu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata negeri ini berhasrat untuk menjadi tuan rumah sambutan itu tahun ini.

Dalam perkembangan berasingan, Nancy berkata pembekuan sementara semua permohonan bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dijangka dibuka semula tahun depan selepas kajian semula aktiviti dan proses dalam program berkenaan selesai akhir tahun ini.

Dilancarkan pada 2002, program MM2H di bawah kementerian itu, kini disertai oleh 48,000 warga asing.

-- BERNAMA